Sunday, November 29, 2009

Esei!

Berakhirnya institusi tingkatan enam

Oleh: Zin Mahmud

PENDIDIKAN bukan saja pencapaian akademik. Ada dua komponen penting lain iaitu kokurikulum dan sukan.

Persatuan di sekolah akan mengajar tanggung jawab, bagaimana bekerja dalam satu pasukan, dan lebih penting lagi ialah semangat sukarela. Seseorang pekerja yang mempunyai semangat sukarela akan mampu membuat sesuatu atas dasar inisiatif sendiri tanpa mengira sama ada ganjaran akan diperoleh daripada syarikat.

Sukan di sekolah juga amat penting. Daripadanya ia boleh menyemai amalan hidup sihat di samping kelebihan yang diperoleh melalui permainan secara berpasukan, menghormati peraturan permainan yang juga memperkayakan keperibadian seseorang.

Namun begitu, sukan dan kokurikulum di sekolah hanya dapat cemerlang jika

persatuannya kuat dan dipimpin baik. Kalau persatuan tidak menampakkan aktiviti cergas di bawah kepimpinan pelajar sendiri, maka ia dianggap gagal. Lebih-lebih lagi jika ia terlalu bergantung kepada guru penasihat hingga peranan pelajar tidak cukup menyerlah.

Ini kerana guru wajar hanya membimbing dan tidak campur tangan dengan banyak hingga pelajar-pelajar itu tidak benar-benar memimpin.

Tetapi persatuan-persatuan sekolah hanya dapat bergerak dengan baik sekiranya ia dipimpin oleh pelajar-pelajar matang. Pelajar tingkatan empat kurang matang kalau berbanding dengan pelajar tingkatan enam. Sementara pelajar tingkatan lima terpaksa menumpukan kepada peperiksaan yang dihadapi.

Jika ada tingkatan enam, maka kepimpinan sekolah termasuk persatuan akan berada di tangan pelajar yang lebih matang dan bersedia untuk menjayakan pelbagai aktiviti. Sementara pelajar tingkatan empat akan menjadi pelapis yang akan belajar daripada senior dalam memimpin institusi-institusi sekolah.

Kejayaan tingkatan enam inilah merupakan penyumbang kepada kecemerlangan sekolah-sekolah dahulu seperti Victoria Institution, St John‘s Institution, Anderson School, King George School dan English College .

Tetapi sejak tahun 80-an, institusi tingkatan enam ini mula dilemahkan. Pelajar-pelajar baik akan dimasukkan ke dalam program matrikulasi.

Di kolej-kolej ini, pelajar-pelajar tidak berpeluang untuk memberi kepimpinan kepada persatuan yang besar dan merangkumi ahli pelbagai peringkat umur. Mereka hanya memimpin persatuan rakan sebaya. Tidak seperti kalau mereka berada di sekolah menengah yang pelajarnya merangkumi hingga ke tingkatan satu.

Sementara itu, sekolah menengah pula kehilangan pelajar cemerlang untuk memimpin persatuan. Yang tinggal berada di tingkatan enam adalah pelajar-pelajar sederhana.

Akhirnya tingkatan enam tidak lagi popular di kalangan pelajar yang mahu cepat-cepat meninggalkan sekolah. Maka kepimpinan persatuan sekolah jatuh kepada pelajar tingkatan empat yang masih kurang matang.

Maka tidak hairanlah para majikan juga mengeluh. Mengapakah kalangan generasi sekarang dari segi nilai bekerja dan kepimpinan amat rendah? Sikap tanggungjawab, inisiatif dan sukarela dirasakan merosot? Tumpuan hanya kepada berapa gaji yang diperoleh dan bukannya disebabkan minat dan keseronokan bekerja?

Penulis juga percaya kemerosotan sukan di negara ini juga berpunca daripada kegagalan sekolah untuk mewujudkan persekitaran kesukanan dan permainan yang tinggi. Kelemahan budaya kesukanan di sekolah-sekolah dipercayai berada dalam keadaan yang amat lemah. jaguh-jaguh sukan negara dahulu lahir dalam sistem persekolahan sebelum tahun 80-an.

Wednesday, November 25, 2009

Ucapan!


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA...
PADA semua muslimin dan muslimat,semoga semua diberikan-NYA keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kebahagiaan pada hari yang mulia ini.
Renung dan hayati semangat disebalik hari perayaan ini agar ia memberi sinar dan dorongan untuk terus berkorban apa saja demi agama,bangsa dan negara.
Selamat Hari Raya Aidil Adha dari kami di pibg smk Lembah Keramat blogspot.

Tuesday, November 3, 2009

Berita Minggu Ini!




PM: Sekolah satu aliran akan dilaksanakan dengan persetujuan rakyat
KERAJAAN akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensiviti kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan.
Beliau berkata perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.
"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih.
"Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB di sini pada Sabtu.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa anggota Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran selepas cadangan itu ditimbulkan oleh tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas.
Khoo dilaporkan berkata sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.
Najib berkata terdapat pelbagai pendapat dalam soal pendidikan.
"Soal pendidikan ini ada macam-macam pendapat. Kita sudah bermula dengan satu kedudukan di mana kita memberi setiap warga Malaysia, kumpulan etnik dan komuniti hak untuk memilih jenis pendidikan.
"Kita hanya akan mengubah dasar berdasarkan kepada kehendak masyarakat, kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan kita akan ubah, selagi masyarakat tak bersedia kita akan kekalkan seperti mana sedia ada," katanya.
Najib berkata tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran sekiranya keputusan tersebut boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial kerana menurutnya sebarang keputusan kerajaan adalah untuk membawa perpaduan kepada semua.
"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya. BERNAMA