Sunday, August 9, 2009

Pelajar boleh teruskan Sains, Matematik dalam BI




Pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, isu itu turut dibangkitkan oleh rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.


"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini.


Muhyiddin berkata, pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.


"Mereka (ibu bapa) tidak perlu bimbang," katanya.


"Saya mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang. Kami mengguna pakai pendekatan berlembut...memberi peluang untuk bergerak secara perlahanlahan ke dalam sistem baru," katanya.


Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matermatik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan kembali kepada dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing dari 2012.


Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Enam Rendah pada 2003, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Mengenai laporan akhbar hari ini bahawa Jabatan Pelajaran telah menarik balik kebenaran bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Hartamas untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membantah perubahan dasar itu dan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran bagi sains dan matematik, Muhyiddin berkata pegawai jabatan itu tidak sepatutnya berbuat demikian.


"Kami bersikap terbuka. Mereka (jabatan) tidak harus bersikap demikian, maafkan saya. Saya minta maaf. Saya fikir tidak adil (untuk menarik balik kebenaran itu)," katanya.


Muhyiddin berharap pegawai jabatan tidak berbuat demikian di masa depan.


Katanya dengan membantah perubahan dasar itu, itu merupakan salah satu cara menunjukkan kejayaan dasar itu, walaupun kerajaan terpaksa mengubahnya demi kepentingan majoriti pelajar di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berpendapat sekolah satu aliran boleh jayakan 1Malaysia.Katanya, pelaksanaan sekolah satu aliran dapat membantu menjayakan konsep 1Malaysia kerana ia boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar.
Menurut anggota Parlimen Jerlun lagi, melalui konsep pendidikan itu, pelajar pelbagai kaum dapat bergaul dan berinteraksi dengan lebih berkesan.


"Ia mungkin boleh dijayakan dengan mewajibkan bahasa Mandarin dan Tamil contohnya sebagai mata pelajaran elektif, ini bermakna pelajar boleh belajar bahasa ibunda rakan-rakan mereka yang lain.


"Alangkah baiknya jika rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil serta mencapai matlamat 1Malaysia yang lebih harmoni dan saling memahami," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Wacana Perpaduan 1Malaysia di sini, Sabtu.


Beliau berkata bagi mengelak pelajar meninggalkan bahasa ibunda mereka, sekolah satu aliran itu perlu mewajibkan pelajar mengambil mata pelajaran bahasa ibunda masing-masing.Beliau berkata sistem pendidikan itu dapat menyatupadukan semua kaum melalui perkongsian budaya dan adat resam serta dapat mengelak daripada berlakunya polarisasi kaum di negara ini.


Mukhriz berkata cadangan sekolah satu aliran itu pernah dimuatkan dalam Penyata Razak pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum negara menyambut kemerdekaan.


"Allahyarham Tun Abdul Razak telah menyatakan ingin melihat sekolah satu aliran menjadi kenyataan. Namun selepas 52 tahun Merdeka ia belum terjadi," katanya.


Beliau berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dicapai jika semua pihak berganding bahu menjayakannya. BERNAMA

Thursday, August 6, 2009

Info SMKLK


SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat telah dibuka pada 3 Januari 1986. Sekolah yang berkeluasan 50,000 meter persegi ini terletak dalam mukim Hulu Kelang dan perbelanjaan pembinaannya dibiayai oleh Bank Dunia.
Terdapat hanya 20 orang tenaga pendidik diterajui oleh En. Ismail b. Sulaiman selaku Pengetua Perintis dan 327 orang murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua pada mula-mula pembukaan sekolah ini. Jumlah murid terus meningkat dari tahun ke tahun dan pada 1988 jumlah murid meningkat ke angka 1,666 orang.
Persekolahan dua sesi diwujudkan iaitu murid Tingkatan Satu dan Dua pada sesi petang manakala murid Tingkatan Tiga, Empat dan Lima pada sesi pagi. Kumpulan pertama yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia ialah pada tahun 1989 dan telah mencatatkan keputusan cemerlang yang membanggakan.
Pada tahun 1986 juga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan dan En. Mohd Rus bin Pilus sebagai Yang Dipertua Pertama.
FALSAFAH & WAWASAN
Kepercayaan bahawa pelajar mempunyai bakat, potensi dan kecenderungan jika dididik, diasuh dan dilatih dengan sempurna akan membentuk seorang insan yang dicita-citakan oleh negara.
Menjelang alaf akan datang, SMKLK akan menjadi pusat pembentukan para pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi yang memenuhi ciri-ciri insan yang diharapkan oleh agama, bangsa dan negara untuk mengharungi arus hadapan yang penuh dengan cabaran dan rintangan.
PIAGAM SEKOLAH
* Menyediakan pengajaran–pembelajaran yang bersepadu, terkini, berkualiti dan berkesan.
* Melahirkan murid yang seimbang, aktif dan berwawasan melalui kegiatan-kegiatan Kokurikulum.
* Menyediakan pendidikan rohaniah yang berlandaskan akhlak mulia dan daya ketahanan diri.
* Menyediakan persekitaran yang bersih, selesa dan selamat.
* Memastikan murid dan ibu bapa dilayan dengan mesra, adil lagi saksama tanpa prasangka serta bersedia menerima sebarang pandangan dan maklum balas.
LAGU SEKOLAH
Megah di tanah ibunda, SMKLK harapan negara, Di sinilah ilmu dipupuk dicari, Bersama menabur bakti, Sekolah yang penuh berjasa, Penyambung wawasan anak bangsa, Namamu gemilang sentiasa dikenang, Di tanah pusaka moyang, Berusaha, disiplin, jaya, Jadi amalan kita, Berbakti dan berjasa, Pada agama, bangsa, negara, Kenangi jasa pendidik, Guru sebagai pelita ilmu, Menerangi alam yang gelap gelita, Demi mencapai cita, Berusaha, berusaha, Teruslah berusaha, Berusaha, berusaha, Tuju puncak jaya
LENCANA
Lencana SMKLK telah dicipta oleh pelajar dan diubahsuai oleh guru sekolah ini. Di bahagian tengah lencana terdapat obor bernyala yang melambangkan kejayaan para pelajar. Latarbelakang lencana yang berwarna merah, kuning dan putih membawa maksud tertentu.
Warna-warna melambangkan:
* MERAH : keberanian dan semangat perjuangan pelajar untuk sentiasa maju dalam pelajaran dan taat setia terhadap negara yang dicintai.
* KUNING : Sistem pemerintahan negara yang berdaulat berasaskan sistem beraja yang utuh.
* PUTIH : Kesucian dan keluhuran para guru dalam menabur bakti.
COGAN KATA
Di bawah bahagian lencana, tertulis cogan kata sekolah yang berbunyi:
BERUSAHA, BERDISIPLIN, BERJAYA. Ini membawa maksud kegigihan serta sifat yang perlu ada pada diri setiap pelajar untuk mencapai cita-cita demi negara. Lambang ini juga menjadi simbol semangat dan usaha para pelajar untuk mencapai kejayaan di samping mengharumkan nama sekolah.
VISI & MISI
Visi SMKLK ialah "Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat Gemilang Menjelang 2011"
Misi sekolah pula ialah:
* Mengasah potensi diri melalui penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni yang berterusan.
* Memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran demi menjana kecemerlangan pelajar.
* Mewujudkan lingkaran persekitaran yang kondusif.

Wednesday, August 5, 2009

Bangsa Membaca Bangsa Berjaya

IMBAS kembali. Bila penulis ini berada di sekolah rendah di Pasir Mas, Kelantan pada awal 1970-an, Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang amat 'asing' sekali bagi beliau.
Ejaan dan sebutan perkataan bahasa ini amat ganjil dan sukar sekali bagi beliau, sehinggakan beliau hampir-hampir 'menjauhkan diri' daripada mempelajarinya.
Bagi penulis ketika itu, bahasa ini memang 'menyusahkan' hidupnya.
Tapi kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang kedua AllahyarhamTun Abdul Razak Hussein, yang dikenali juga sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, telah mengubah segalanya.
"Untuk membangun dan maju ke hadapan, kita perlu ilmu pengetahuan. Satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah dengan membaca..." beliau dilaporkan berkata oleh media ketika itu.
Kata-kata itu merangsang penulis menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap waktu lepas sekolah di kutub khanah (perpustakaan) yang penuh dengan buku-buku dan karya Bahasa Inggeris.
Walaupun dengan pengetahuan yang boleh dikira sebagai kosong dalam bahasa asing ini, dengan berbekalkan sebuah kamus dwi-bahasa, penulis dengan secara merangkak-merangkak membaca karya-karya dalam Bahasa Inggeris yang ditulis karyawan terkenal seperti Enid Blyton, Somerset Maughan, Robert Louis Stevenson, Agatha Christie, Edgar Allan Poe dan Shakespeare.
Penulis juga mendapati dengan membaca novel serta karya yang mempunyai terjemahan dalam Bahasa Melayu/Inggeris, seperti Pending Permata (Red Winds), Buaya Mati Dua Kali (The Crocodile Dies Twice), Harimau Lembah Pahit (Tiger of Lembah Pahit), Gendang Kosong (Empty Drums), Don Kisot (Don Quixote) dan Hikayat Seribu Satu Malam (Arabian Nights) telah banyak membantu.
"Jika kamu faham tentang apa yang ditulis, kamu tentu dapat mempelajari (Bahasa Inggeris) dengan lebih cepat," seorang guru memberitahu penulis.
Itulah caranya penulis mempelajari Bahasa Inggeris, satu bahasa yang beliau anggap amat sukar untuk dipelajari satu masa dahulu.
Bagaimanapun, penulis tidak pernah meninggalkan, bahkan membaca berulang kali tanpa jemu, karya hebat dan klasik sasterawan Melayu seperti Rentung, Patah Sayap Terbang Jua, Tulang-tulang Berserakan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lembayung Kaabah, Tenggelamnya Kapal van Der Wick, Atheis dan banyak lagi.
Minggu lepas, penulis berkunjung ke Kompleks PKNS, Shah Alam kerana satu urusan. Beliau agak hairan melihat ramai pengunjung berkumpul lobi kompleks itu..
"Ada apa (yang berlaku) ?" Tanya beliau kepada seorang pengunjung wanita.
"Awak tak tahu ke bulan ini (Julai) ialah Bulan Membaca", jawab wanita itu, seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Evelynn.
"Awak tak perasan iklan dalam televisyen setiap malam? katanya lagi, membuatkan penulis tersipu malu.
Sebenarnya kompleks itu menganjurkan 'Pesta Buku Negeri Selangor'. Pesta buku itu ialah dari 24 Julai hingga 3 Ogos, 10 pagi-9 malam.
Kempen membaca dilancar secara rasmi pada 1995 semasa Perayaan Bulan Membaca Kebangsaan. Temanya ialah "Mari Membaca Bersama".
Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Perdana Menteri Malaysia, melancarkan kempen itu pada tahun yang sama iaitu pada 31 Julai.
Kempen itu dijalankan di seluruh negara pada setiap bulan Ogos sehingga tahun 2000.
Pada tahun 2001, semasa majlis yang dirasmikan Datin Seri (Tun) Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerajaan mengumumkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca Kebangsaan, menggantikan bulan Ogos.
Mulai tahun 2001 sehingga kini, kempen ini dijalankan setiap bulan Julai dan dijadikan agenda tahunan kerajaan ke arah membentuk masyarakat yang mempunyai ilmu dan maklumat dengan menjadikan membaca sebagai satu budaya.
Bekas pendidik Fatimah Mansur berkata langkah kerajaan menjadikan Kempen Bulan Membaca ialah satu usaha yang amat bijak.
"Lihatlah di sekeliling kita, di mana saja kelihatan orang membaca sama ada surat khabar atau majalah serta buku ataupun membaca blog dan bahan lain dalam Internet," kata beliau.
Satu pandangan yang sememangnya tepat sekali.
Dalam kunjungan penulis ke sebuah kedai buku mega di Bandar Utama, Petaling Jaya, beliau mendapati begitu ramai orang dewasa serta kanak-kanak dan ibu bapa sedang membaca buku dan majalah yang terdapat di situ.
Tak kurang juga yang sedang beratur untuk membayar bahan bacaan yang dibeli.
Di seluruh negara, pelbagai pertubuhan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), perpustakaan awam dan swasta serta juga sekolah, kolej dan universiti mengadakan kempen membaca masing-masing sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan.
"Di mata umum, Kempen Membaca ini berjaya," kata Fatimah.
Menurut pandangan beberapa orang ahli akademik di sebuah universiti di sini, kempen itu memang boleh dianggap berjaya.
"Ia berjaya menarik penyertaan orang ramai dalam pelbagai program di samping menyemai kesedaran membaca sepanjang hayat.
"Kempen ini juga menggalakkan aktiviti membaca sebagai satu budaya," kata seorang pensyarah.
Fatimah menambah, kempen itu meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya membaca sebagai kunci pengetahuan dan ilmu tanpa sempadan.
"Kempen ini boleh menyemarakkan minat dan tabiat membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia kini dan di masa hadapan. Ia juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang bersangkut-paut dengan membaca dan aktiviti akademik," menurut pengurus dalam industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid dari Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Bagi mahasiswa universiti, Muhamad Zul Azraii, kempen itu telah merapatkan jurang antara masyarakat dan bahan bacaan selain daripada memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan orang ramai.
Penjawat awam dan ibu kepada tiga orang anak, Zaida Zainal berkata: "Kempen Membaca telah membina satu masyarakat yang berilmu, yang berupaya untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, kritikal dan konstruktif melalui pembacaan.
"Tiada apa yang merugikan dengan membaca, malah aktiviti ini memang menguntungkan sekali," katanya. - (Oleh ZULKIPLE IBRAHIM) BERNAMA