Sunday, February 14, 2010

Kabar dari Kementerian Pelajaran


Kurikulum baru BI di perkenalkan 2011


BESUT - Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris dalam usaha memantap dan memperkasakan pembelajaran dan pengajaran bahasa itu di semua sekolah seluruh negara mulai tahun depan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (gambar) berkata, pihaknya telah menyiapkan kurikulum baru itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi penggunaan Bahasa Inggeris British bagi memastikan impian menjadi suatu realiti.


Katanya, langkah itu sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran yang mahu memastikan semua pelajar di negara ini mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa selain Bahasa Melayu.


'' Kurikulum baru itu amat menarik dan memenuhi cita rasa pelajar apabila diperkenalkan bagi membolehkan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa antarabangsa itu secara meluas.


''Ia akan diguna pakai tahun depan untuk murid tahun satu dengan konsep yang digunakan lebih kepada pembelajaran secara interaktif (fun learning) seperti penggunaan seni bahasa (Language Arts), tata bahasa, penggunaan sebutan dan pertuturan secara betul," katanya.


Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan demikian selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong,Jerteh.


Hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh, wakil rakyat dan pemimpin pelbagai peringkat.


Dalam majlis itu Muhyiddin meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud bagi membolehkan sekolah itu menjadi peneraju dalam mencipta kejayaan dalam pelajaran.


Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sejajar dengan usaha itu, Kementerian Pelajaran juga akan mengambil 365 guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara bagi membolehkan mereka mengajar dan mendidik guru Bahasa Inggeris sedia ada di negara ini.


Beliau berkata, langkah itu adalah ke arah memastikan proses pengajaran bahasa antarabangsa tersebut berjalan lancar.


Katanya, penempatan mereka dibuat secara kontrak bagi membolehkan usaha secara terancang dapat dilakukan.


''Selain penempatan guru pakar, guru sedia ada di negara ini juga akan dilatih dengan pelbagai insentif dan galakan. Melalui tindakan demikian ia bakal menjadi suatu rangsangan untuk melakukan sesuatu ke arah yang lebih baik," katanya.



Guru baru ke pedalaman


PULAU PINANG - Kementerian Pelajaran membayangkan bakal mengenakan syarat supaya guru baru dihantar mengajar ke kawasan pedalaman sekurang-kurangnya selama tiga tahun.


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia akan diwajibkan ke atas lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).


''Bagaimanapun, perkara ini masih lagi di peringkat cadangan sebagai satu strategi melahirkan guru yang lebih terlatih dalam pelbagai bidang.


''Kita merasakan ia cadangan yang baik kerana dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada guru," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau.


Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, dua Naib Ketua bahagian masing-masing ialah Muhammad Farid Saad serta Syed Amerruddin Syed Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin.


Tambahnya, walaupun syarat itu pernah diguna pakai, namun objektifnya tidak seperti yang dihasratkan kerana sering kali ada sahaja campur tangan atau sokongan pihak luar untuk guru baru bertukar.


Sementara itu, Mohd. Puad berkata, kementerian juga akan mencadangkan pelajar aliran sekolah kemahiran dan vokasional dibenar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi bahasa Melayu sahaja.


''Cadangan itu bagi membolehkan pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi antaranya institut kemahiran kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau agensi kerajaan lain.


''Ia adalah idea Bahagian Penyelidikan Teknik dan Vokasional berikutan ramai pelajar kumpulan ini tidak berminat untuk mengikuti kelas akademik sebaliknya cenderung di bidang teknikal dan kemahiran," ujarnya.


Beliau memberitahu, perkara itu sedang diperhalusi oleh Bahagian Peperiksaan Kementerian Pelajaran dan akan dilaksanakan pada bila-bila masa sebaik ia mendapat kelulusan pihak terlibat.





Friday, February 5, 2010

Pujuk anak buat kerja sekolah


MEMANG memenatkan. Mana tidaknya hampir setiap hari harus mengingatkan anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Yang naik risau kita, bukannya anak-anak. Mereka selagi tidak mendengar leteran atau desakan, tidak akan angkat punggung untuk membuat kerja sekolah.

Lagi memeritkan, kitalah yang harus duduk bersama-sama semasa membuat kerja sekolah sehingga kerja-kerja rumah lain tergendalam. Lagi teruk apabila ibu atau bapa yang menyelesaikannya kerana anak-anak langsung tidak faham atau mengantuk.

Ini adalah antara rungutan-rungutan yang selalu diluahkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.

Kadangkala leteran itu telah menjadi 'lagu merdu' bagi anak-anak dan bukan lagi arahan yang perlu diikuti dan ditakuti.

Ini sebenarnya adalah lumrah hidup kanak-kanak. Mereka sememangnya tidak suka membuat kerja sekolah. Sehubungan itu, tanamkan minat mereka untuk menyukai kerja sekolah.

Selain itu, ibu bapa harus ingat bahawa anda tidak boleh memaksa mereka melakukannya atau belajar.

Begitu juga, menyelesaikan kerja sekolah adalah masalah anak-anak. Justeru, mereka harus menggerakkan pensel mereka. Otak mereka harus berfikir. Punggung mereka harus diletakkan di kerusi.

Ramai ibu bapa beranggapan bahawa kerja sekolah adalah masalah mereka. Jadi mereka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan seperti menjerit, marah, mengugut atau menarik balik keistimewaan yang diberi. Bagaimanapun kebanyakan taktik ini tidak memberi kesan.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak membuat kerja sekolah. Tugas kita ialah menyediakan struktur dan mewujudkan sistem. Tugas anak ialah menggunakan sistem itu.

Sehubungan itu, terdapat beberapa panduan yang boleh dilakukan bagi memujuk anak membuat kerja rumah.

Antara alasan mengapa anak-anak tidak berminat membuat kerja sekolah ialah tidak cukup peralatan. Kadangkala tidak mempunyai rujukan yang sesuai dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Justeru, wujudkan satu tempat atau stesen kerja sekolah atau tempat belajar di rumah. Stesen itu mestilah:

* Jauh daripada ruang televisyen atau tempat permainan video.
* Lengkapkan dengan meja, kerusi atau komputer bergantung pada umur anak.
* Pastikan alat tulis lengkap.

Dengan jadual ia boleh membentuk tabiat untuk melaksanakan kerja rumah di kalangan anak-anak. Ini sekali gus mengurangkan tekanan ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, buat jadual dan tetapkan waktu yang sesuai setiap hari. Pastikan bilakah masanya anak mesti melakukan kerja sekolah. Beri kelonggaran kepada mereka untuk menentukan waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.

Kadangkala bagi mengelakkan melakukan kerja sekolah, anak akan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai tugasan pun.

Justeru itu, masa yang telah ditetapkan melakukan kerja rumah haruslah diganti dengan waktu untuk belajar.

Ingatkan mereka 10 minit sebelum waktu ditetapkan supaya mereka peka. Insya-Allah, selepas beberapa minggu atau bulan, anak anda akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.

Sediakan perancangan harian atau kalendar. Galakkan anak untuk membuat nota tarikh hantaran terakhir atau ujian akan datang dalam kalendar. Bantu mereka membuat jadual dan jelaskan bahawa waktu yang terurus tidak akan membebankan mereka.

Selalu ingatkan mereka. Apabila anak telah biasa menggunakan kalendar dan jadual waktu, mereka akan tahu manfaat dan melakukan kerja sekolah itu sendiri.

Banyak kanak-kanak merasakan melakukan kerja sekolah adalah satu bebanan dan ia dilakukan secara terpaksa kerana arahan ibu bapa.

Akibatnya mereka jadi terganggu apabila tibanya waktu belajar. Untuk atasi masalah ini cuba minimumkan gangguan semasa anak-anak belajar seperti menutup televisyen dan radio.

Ibu bapa perlu gunakan waktu ini melakukan kerja-kerja rumah, uruskan pembayaran bil dan sebagainya.

Dengan ini, anda bukan sahaja meredakan gangguan, tetapi menunjukkan kepada anak bahawa anda juga melakukan 'kerja' di luar waktu kerja anda.