Tuesday, April 6, 2010

Suatu kisah ulat buku tahun 70-an

MEMANG sukar untuk menggalakkan orang membaca. Kerana minat membaca ini kemungkinannya adalah seperti bakat semula jadi seseorang.

Kalau seseorang itu minat, ia dengan sendiri akan membaca tanpa digalak-galakkan. Kalau tidak minat, suruhlah macam mana pun, dia tidak akan minat.

Cuma apa yang boleh dilakukan hanya mendedahkan dan memudahkan kanak-kanak menyukai buku.

Ia adalah dengan harapan supaya mereka sememangnya berbakat untuk minat pada buku akan terdorong kepadanya. Jika tidak, kemungkinannya minat dan bakat akan hilang begitu saja.

Seperti orang yang berbakat menyanyi. Kalau tidak digalakkan, ia akan hanya menyanyi di bilik air. Tetapi kalau digalakkan dan didedahkan, mungkin ia boleh berkembang menjadi kerjaya.

Cabaran bagi menggalakkan orang membaca lebih sukar sekarang. Kanak-kanak tentunya lebih cenderong untuk meluangkan masa untuk membaca atau bermain dengan komputer.

Tetapi membaca yang lain daripada buku bukan sebenarnya membaca. Tidak sama membaca blog, facebook atau laman web dengan membaca buku.

Tetapi menyatakan bahawa minat membaca buku akan membawa kejayaan adalah merupakan satu mitos. Banyak orang yang berjaya tetapi tidak meminati buku.

Sementara banyak orang yang meminati buku tetapi tidaklah berjaya dalam hidup. Terdapat banyak faktor untuk berjaya, dan membaca buku bukanlah salah satu faktornya.

Kini disedari bahawa masa depan membaca buku pasti akan berubah. Generasi masa depan akan membaca buku menggunakan e-reader.

Orang yang minat membaca buku akan melakukannya menggunakan e-reader. Dalam hal ini anak-anak Malaysia mesti bersegera berhijrah daripada membaca buku cetak kepada e-reader. Begitu juga dengan penerbit buku di negara ini.

Dalam budaya baru ini, tentunya buku akan bersifat global, bukan saja dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi sudah tidak ada batas sempadan bagi kemasukan buku.

Tidak ada sesiapa yang boleh mengharamkan buku.

Memang selama ini bagi para peminat buku, budaya mengharamkan buku dan menapiskan buku adalah suatu yang bukan saja mengecewakan tetapi dirasakan menghina daya fikir para ulat buku.

Seolah-olah hanya dengan membaca sesuatu buku, seseorang itu boleh terpengaruh menjadi komunis, subversif, sesat atau murtad.

Teringat pada tahun-tahun 1970-an di mana negara asing pertama yang penulis kunjungi ialah Singapura.
Lepas peperiksaan MCE pada Disember 1976, penulis bersama sahabat baik Raymond, rakan sepustakawan sekolah menaiki keretapi malam dari Kuala Lumpur ke pulau itu.

Ada dua tempat yang menjadi sasaran kunjungan kami, iaitu Perpustakaan Nasional Singapura dan kedai buku terbesar di sana iaitu MPH.

Secara khusus penulis mahu lihat dan baca buku The Malay Dilemma tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu diharamkan di Malaysia. Dr Mahathir masa itu ialah Timbalan Perdana Menteri.

Ketika sampai di Johor Bharu, penulis beli Utusan Malaysia. Tetapi ketika masuk ke Singapura, akhbar yang penulis tidak sempat baca itu telah diambil.

Nampaknya, Utusan Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Singapura.
politik

Sampai di Perpustakaan Nasional Singapura dan MPH, kami teruja. Kedua-duanya pada masa itu lebih besar daripada apa yang ada di Kuala Lumpur.

Masuk saja ke dalam MPH, penulis terus ke bahagian politik. Wah, banyaknya buku politik kiri, Marx, Lenin, Trotsky, Mao semuanya ada. Di Kuala Lumpur tidak ada buku-buku seumpama itu pada masa itu.

Dengan segera penulis dapatkan buku The Malay Dilemma dan membacanya dengan cepat. Kalau dibeli tetapi tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia tidak berguna juga.

Berulang kali penulis ke kedai itu dan akhirnya habis juga membacanya. Sebagai peminat akhbar tentunya, penulis membeli akhbar The Straits Times dan Berita Harian Singapura untuk dijadikan koleksi sebagai peminat akhbar.

Tetapi apabila masuk ke negara itu, kedua-dua akhbar itu diambil. Rupa-rupanya akhbar Singapura tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Negara asing kedua yang penulis kunjungi ialah Indonesia. Pada tahun 1981, penulis masih seorang pelajar universiti. Di Medan, penulis beli buku mengenai sejarah akhbar Indonesia dan beberapa akhbar negara itu.

Sampai di lapangan terbang Subang, akhbar-akhbar Indonesia itu juga diambil. Rasa kecewa kerana penulis mahu menjadikannya sebagai koleksi.

Orang kata pada masa itu, buku-buku dari luar negara yang masuk ke Malaysia mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditapis sebelum dikembalikan kepada pemiliknya.

Sungguh sakit hati penulis terhadap peraturan ini. Berapa banyak sangat orang hendak membaca buku-buku berat yang dihalang ini.

Kalau seseorang itu ahli akademik dan memesan buku melalui universiti sebagai sebahagian daripada kajiannya, ia akan dilepaskan tetapi tidaklah kepada orang awam seperti anak-anak muda yang dianggap mentah dan mudah terpengaruh.

Teringat pada tahun 1976, pada masa itu Perpustakaan Negara ditempatkan di bangunan UMBC. Ketika itu ia bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.

Yang ada hanyalah bahagian rujukan. Bahagian pinjaman belum dibuat lagi. Ketika penulis sedang membelek-belek buku mengenai Sukarno, seorang pustakawan menegur. Dia tanya penulis tingkatan berapa.

Setelah mengetahui penulis tingkatan lima, dia minta penulis keluar kerana katanya perpustakaan itu hanya untuk orang tingkatan enam dan ke atas.

Penulis keluar dengan rasa marah. Lebih-lebih lagi sebagai pustakawan sekolah penulis pernah membantu mengutip derma bagi pembinaan bangunan Perpustakaan Negara.

Oleh kerana perpustakaan sekolah penulis berjaya mengutip derma paling banyak, maka kami diberi hadiah satu set lengkap Encyclopedia Britannica. – Oleh ZIN MAHMUD