Thursday, December 10, 2009

Bicara Akademi

Peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah

Oleh: Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya

TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.

Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.

Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.

Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.

Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.

Proses P&P berkesan menjadi penanda aras kepada kecemerlangan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Sebagai pemimpin berpengalaman dan melaksanakan proses P&P ketika menjadi guru biasa, kini bidang tugas mereka hanya memantau pelaksanaannya dan memastikan ia berjalan lancar.

Sebagai pemimpin mereka perlu peka mengenai keperluan semasa dan kehendak pelajar. Pemantauan menyeluruh mengenal pasti prestasi adalah langkah awal pemimpin meningkatkan perkhidmatan sedia ada.

Suntikan semangat serta bimbingan berterusan kepada guru penting supaya mereka dapat terus mendidik dengan penuh dedikasi.

Guru juga memerlukan bimbingan dan sokongan serta suntikan motivasi daripada pemimpin supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dan sedia berganding bahu dalam memenuhi aspirasi sekolah mencapai kecemerlangan.

Tidak dinafikan terlalu ramai guru besar dan pengetua terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah. Tugas mereka semakin mencabar terutama apabila berdepan dengan penanda aras kecemerlangan yang diukur berdasarkan pencapaian akademik menerusi sistem peperiksaan.

Tanpa disedari keghairahan mencapai kecemerlangan menyebabkan mereka terlepas pandang hingga menyebabkan proses P&P tidak seimbang.

Guru mengajar semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan membolehkan peperiksaan dilaksanakan secepat mungkin.

Pemimpin sekolah perlu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki. Senario ini menyebabkan ketulenan proses P&P tidak wujud kerana pelajar mengikuti pengajian semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi gagal menghayati pengetahuan dipelajari.

Kita tidak mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik semata-mata kerana khuatir apa yang dipelajari gagal menjadikan mereka insan berilmu dan memiliki sahsiah yang tinggi.

Pengetahuan bersifat subjektif, hanya pelajar yang dapat menghayati ilmu menjadikan mereka benar-benar individu berfikir dan membentuk sahsiah serta personaliti unggul.

Sebelum ini banyak aduan terutama daripada ibu bapa mengenai sikap ghairah sekolah yang mengutamakan kecemerlangan akademik menyebabkan pelajarnya tertekan.

Tekanan yang diberikan pemimpin sekolah menyebabkan pelajar terutama di mereka yang cerdik terasa seolah-olah dipergunakan.

Tindakan itu apabila diperhalusi ada sebabnya dalam usaha mendisiplinkan pelajar supaya memberikan perhatian berterusan dalam memacu kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.

Tanpa disedari proses pembelajaran itu lebih menyeluruh kerana selain memberi ilmu pengetahuan, pada hakikinya ia membentuk insan terus berfikir apa yang dipelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Kebanyakan pemimpin di sekolah adalah mereka berpengalaman mengajar dan seharusnya di peringkat pentadbiran, masing-masing sudah bersedia berdepan suasana sedemikian.

Pastikan pengalaman dikongsi bersama dalam menjayakan proses P&P yang lebih berkesan bagi melahirkan generasi lebih berdaya saing serta cemerlang akademik dan sempurna sahsiah.

Wednesday, December 9, 2009

Keratan Berita!

Garis Panduan Mata Pelajaran Tambahan SPM

KUALA LUMPUR - Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.

Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.

"Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," kata beliau dalam satu kenyataan.

Alimuddin berkata keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan tersebut akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran.

Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama.

"Dengan formula 10+2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.

"Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas," kata Alimuddin.

Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran.

Alimuddin berkata syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

Kata beliau pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.

Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin. - BERNAMA

KP Pelajaran Sambut Baik Wajibkan Sukan Di Sekolah

PETALING JAYA - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom menyambut baik saranan supaya dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Katanya peranan guru tidak akan bertambah walaupun dasar berkenaan diperkenalkan.

"Peranan guru tidak akan bertambah walaupun aktiviti sukan akan diwajibkan di peringkat sekolah," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu dasar berkenaan diwajibkan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Menurut Alimuddin lagi, proses pembelajaran tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan diwajibkan dalam kokurikulum pelajar.

"Proses pembelajaran pelajar sekolah sama sekali tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan sudah menjadi kewajipan dalam kokurikulum pendidikan negara.

"Untuk melahirkan ahli sukan dan atlit yang bermula di bangku sekolah dan seterusnya bagi meningkatkan kemajuan sukan negara," katanya.

Tambah Alimuddin, pihak guru semestinya bijak mengatur jadual untuk aktiviti sukan di sekolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna.

Katanya, aktiviti sukan yang terdapat dalam silibus pendidikan sedia ada sememangnya berkesan untuk melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas.

Tuesday, December 8, 2009

Berita Panas!



Pengetua, guru besar mungkin diberi kuasa ambil, pecat guru

KUALA LUMPUR - Pengetua atau guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru di sekolah mereka pada masa depan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi (gambar), berkata perkara itu akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk merevolusikan sistem pendidikan negara.

Selain itu, kementerian turut mewujudkan ba'iah baru untuk membawa perubahan yang dapat memberi kecemerlangan kepada sekolah-sekolah.

"Sekiranya pengetua atau guru besar melakukan tugas dengan baim, beliau akan mendapat ganjaran...tidak semestinya dalam bentuk kenaikan pangkat atau gaji. Ganjaran itu bergantung kepada kegigihan pengetua atau guru besar berkenaan dalam melakukan perubahan di sekolah mereka.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka boleh lakukan hire and fire...mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Parlimen.

Beliau berkata, melalui revolusi sistem pendidikan itu, kementerian telah melakukan beberapa perubahan termasuk mewujudkan banyak persaingan dengan memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi.

Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mengumumkan 20 sekolah yang diberi penarafan sekolah berprestasi tinggi.

Selain itu, katanya, kementerian akan melakukan rombakan kepada sistem taksiran iaitu sekolah bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata kerana pendidikan adalah sesuatu yang dinamik dan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Beliau turut disoal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai bagaimana kerajaan mahu memartabatkan profesion perguruan sebagai profesion pilihan pertama dan bukan yang terakhir seperti yang berlaku mutakhir ini.

"Sebab itu, kita mesti berusaha menukar pemikiran guru supaya mereka melihat pendidikan sebagai perjuangan untuk memberi keadilan kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan mengubah dasar sedia ada cuma pendekatannya yang berbeza.

"Saya yakin kalau perubahan minda ini dapat dilakukan, kita akan berjaya," katanya.

Kepada soalan lain, Mohd Puad menafikan migrasi sesetengah pihak ke luar negara dalam bidang pendidikan kerana rasa tidak selesa dengan sistem pendidikan negara.

"Saya ragu dengan hujah Ipoh Timur bahawa mereka migrasi ke luar negara kerana tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan kita...mereka ini migrasi kerana melihat kepentingan kebendaan dan disebabkan pekerjaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, walaupun terdapat dakwaan bahawa sistem pendidikan kebangsaan gagal melahirkan pakar, ilmuan dan sebagainya, angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie adalah produk sistem itu.

"Sepatutnya kita berbangga dengan dasar pendidikan kebangsaan kita," katanya. - Bernama

Monday, December 7, 2009

Berita Sana Sini


TPM Mahu Sukan Jadi Kokurikulum Wajib Di Sekolah
MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.
Berucap pada majlis makan malam bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Muar, di sini semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penekanan terhadap sukan menjadi dasar baru kementeriannya bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. "Kokurikulum ada macam-macam sama, ada sukan dan bukan sukan yang termasuk kelab, persatuan dan badan beruniform. Saya hendak ubah sikit dasar. Yang wajib ialah sukan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika menuntut di sekolah berkenaan di Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas, pada 1965 dan 1966.
Muhyiddin berkata kementerian mahu mengembalikan kegemilangan bidang sukan di setiap sekolah dan ganjaran serta insentif akan diberikan bagi mencapai tujuan berkenaan.
"Kita tidak mahu cemerlang di dalam akademik sahaja, tetapi mesti juga dalam bidang yang lain. Kita mahu bawa balik sukan ke sekolah-sekolah," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang mengibaratkan kepulangannya ke sekolah yang ditubuhkan pada 1902 itu sebagai "sirih pulang ke gagang" berkata sekolah berkenaan banyak melahirkan kenangan manis kepada beliau sehingga berjaya pada hari ini.
Beliau berkata antara kenangan manis itu ialah berpeluang menyertai pementasan teater "Uda dan Dara".
Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam ketika bersekolah, Muhyiddin berkata jasa guru-guru di sekolah berkenaan tidak akan beliau lupakan walaupun beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Muhyiddin turut merasmikan muzium warisan Sekolah Tinggi Muar dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menubuhkan kumpulan pancaragam Sekolah Tinggi Muar. BERNAMA

Sunday, December 6, 2009

Berita!

Sistem Pelajaran Perlu Diubah Untuk Keperluan Pelajar Pintar Cerdas - PM

BANGI - Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmian perkhemahan cuti sekolah PERMATA pintar negara di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya.BERNAMA

Friday, December 4, 2009

Berita Terkini!



SPM maksimum 12 subjek
PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil dua mata pelajaran tambahan, menjadikan jumlah maksimum 12 subjek yang boleh diambil.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan keseluruhan SPM tetap berdasarkan kepada 10 mata pelajaran utama dan tidak mengambil kira dua subjek tambahan.
‘‘Kabinet memutuskan 10 subjek utama kekal tapi kita beri kelonggaran kepada pelajar membuat pilihan sendiri sama ada untuk ambil subjek bahasa atau kesusasteraan Cina dan Tamil.
‘‘Pelajar SPM boleh ambil 11 atau 12 subjek tapi ia tidak akan diambil kira dalam keputusan 10 subjek teras,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ke-65 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.
Jun lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pelajar SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran bermula tahun depan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, keputusan membenarkan dua mata pelajaran tambahan itu juga tidak akan diambil kira untuk tujuan lain seperti memohon biasiswa.
‘‘Tapi kalau dia (calon SPM) mahu memohon menjadi guru bahasa Tamil sebagai contoh, dia boleh pakai keputusan subjek tambahan itu,’’ ujarnya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, maklumat menyeluruh mengenai perkara itu akan diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dalam masa terdekat.
Beliau memberitahu, keputusan Kabinet itu dibuat selepas mengambil kira rayuan pelbagai pihak termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam baru-baru ini, agar pelajar India dibenarkan mengambil maksimum 12 mata pelajaran dalam SPM. - Oleh ZABRY MOHAMAD zabrymohamad.madzlan @utusangroup.com.my

Thursday, December 3, 2009

Berita!


Bayaran tambahan persekolahan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.

Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.

Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.

"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.

"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.

"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.

"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.

Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.