Sunday, December 20, 2009

Memori Sekolah!


Pertama Cinta Sekolah Ke Jinjang Pelamin...
Lan Kristal & Shila akhirnya janji termeteri


WALAUPUN
sudah dua minggu berlalu dan masih hangat diselubungi aura pengantin baru namun belum terlambat bagi warga SMKLK dan kru blog meraikan perkahwinan Lan Kristal, vokalis/gitaris Kumpulan Kristal dan pasangannya, Nur Shila.

Paling manis ialah pasangan ini adalah rakan persekolahan semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat (SMKTK).
Perkahwinan ini menjadi kebanggaan bagi warga SMKLK yang sukar dipadam dalam rekod sekolah dengan perkahwinan selebriti popular ini.

Sekalipun ramai yang mengusik, kenapa Lan tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan di padang? Kata mereka, tentu meriah dan mungkin mencatat sejarah di dalam Buku Rekod Malaysia jika majlis persandingan ini diadakan di padang sekolah.

Bagi seluruh warga SMKLK dan kru blog mengucap tahniah dan selamat pengantin baru semoga Lan Kristal dan Shila bahagia hingga akhir hayat. Disiarkan gambar pasangan sehati sejiwa ini diperkarangan sekolah SMKLK.

Friday, December 18, 2009

Mesej PM


Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana Menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana Menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Thursday, December 17, 2009

Kabar dari meja Editor


Keputusan PMR Diumum 24 Disember

KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada 24 Disember ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom (gambar) dalam satu kenyataan hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos.

Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. - BERNAMA


Kerajaan Sasar 100 Sekolah Prestasi Tinggi Pada 2012

PETALING JAYA - Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah prestasi tinggi menjelang 2012 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan.

Ketua Makmal NKRA untuk Pendidikan, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, Kementerian Pelajaran percaya mereka boleh mencapai jumlah yang disasar itu memandangkan kini, terdapat sekolah kluster yang turut menumpukan kepadastandard kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran.

"Kerajaan telah mensasarkan 20 sekolah untuk diiktiraf sebagai sekolah prestasi tinggi tahun depan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Makmal NKRA Pendidikan bertajuk "Pendidikan Berkualiti dan Mampu Dimiliki Oleh Semua Rakyat Malaysia" pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

GTP dua hari, yang bermula hari ini, dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Noor Rezan, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran berkata, tumpuan kepada sekolah prestasi tinggi adalah antara empat teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu dimiliki dalam NKRA untuk pendidikan.

Tiga lagi bidang yang diberi tumpuan ialah pra sekolah, kemahiran membaca dan mengira serta imbuhan baru untuk pengetua dan guru besar.

Beliau berkata, kerajaan mahu pra sekolah menjadi aspek penting sistem pendidikan negara memandangkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun cepat mempelajari sesuatu.

"Pada masa ini kemasukan membabitkan pra sekolah hanya pada tahap 67 peratus. Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 87 peratus kemasukan dalam tempoh tiga tahun.

"Oleh itu, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada sektor swasta untuk meningkatkan pendidikan pra sekolah," katanya.

Untuk aspek membaca dan mengira, beliau berkata, setiap kanak-kanak akan dapat menguasai kemahiran membaca dan mengira selepas tiga tahun berada di sekolah rendah arus perdana menjelang akhir 2012.

"Kerajaan mensasarkan 90 peratus dalam membaca dan mengira menjelang tahun depan. Untuk murid yang memerlukan perhatian khas, kurikulum khas membaca dan mengira telah direka," katanya.

Noor Rezan berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan imbuhan baru untuk Guru Besar dan Pengetua sebagai penghargaan kepada sumbangan dan prestasi pengetua dan guru besar bagi memastikan sekolah diurus dan ditadbir secara profesional.

"Kami mensasarkan dua peratus daripada pengetua diberi anugerah tahun depan," katanya. - BERNAMA



Tuesday, December 15, 2009

Esei Terkini

Berapa subjek paling sesuai diambil pelajar SPM?

SEJARAH Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati jumlah mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sentiasa tidak konsisten, diubah dari semasa ke semasa.

Sejak sistem pensijilan terbuka dilaksanakan bermula 2000, ia tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran calon SPM menyebabkan ada pelajar mengambil sehingga 20 subjek.

Bagaimanapun, bagi mengelak sebarang masalah dengan keputusan A1 yang tidak konsisten dalam kalangan pelajar cemerlang selain memudahkan Kementerian Pelajaran membuat perbandingan, jumlah subjek calon SPM dihadkan kepada 10 subjek saja bermula tahun depan.

Bagaimanapun, di atas permintaan banyak pihak, Kabinet bersetuju membenarkan calon SPM mengambil tambahan dua subjek, tetapi keputusan keseluruhan hanya dikira berdasarkan 10 mata pelajaran utama.

Ini memberi pilihan kepada pelajar sama ada mahu mengambil Bahasa Cina atau Tamil, Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil.

Persoalannya, berapakah subjek sebenarnya yang paling sesuai diambil pelajar? Adakah dengan memaksimumkan subjek untuk calon SPM ini adalah jalan terbaik?

Atau sistem pembelajaran sekolah menengah perlu dirombak dan berteraskan kepada pembelajaran di universiti supaya pelajar tidak tertekan dengan subjek yang banyak?

Bekas pengetua sebuah sekolah kerajaan, Yahya Tahrin, berkata keputusan memaksimumkan 10 subjek diambil calon SPM memadai dan penambahan dua subjek itu tidak memberi tekanan kepada pelajar.

Beliau yang mempunyai 32 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan mengakui sistem pembelajaran terbaik selain menjamin masa depan pelajar ialah melalui sistem pengkhususan.

"Saya menyokong sistem pengkhususan kerana ia memudahkan pelajar membuat pilihan ketika memohon memasuki menara gading kelak.

"Kebanyakan pelajar di universiti mengikuti sesuatu program bukan berlandaskan minat, tetapi kerana mendapat tawaran dan keliru ketika membuat pilihan kursus.

"Ini memberi impak kepada masa depan pelajar kerana ramai mungkin gagal atau mendapat keputusan kurang cemerlang kerana mereka belajar kursus yang mereka tidak minat," katanya.

Justeru, melalui sistem pengkhususan yang diterapkan bermula di tingkatan empat, pelajar tahu hala tuju dan memberi fokus untuk mencapai cita-cita apabila memasuki universiti nanti.

"Apabila pelajar mempunyai hala tuju pasti proses pembelajaran menjadi mudah serta berjalan lancar selain mereka sendiri berusaha meneroka bidang itu," katanya.

Pengkhususan dalam sesuatu bidang, katanya sudah lama diamalkan di luar negara dan buktinya, lahir tokoh terkenal seperti Tiger Woods.

"Di Malaysia, pelajar tidak diberi peluang membuat pengkhususan sebaliknya perlu belajar pelbagai ilmu.

"Sistem pelbagai ilmu yang diterapkan dalam pendidikan negara bukan tidak bagus, tetapi pelajar kadangkala tertekan dan tidak fokus," katanya.

Pengalamannya ketika di sekolah menengah mendapati pelajar yang hanya mengambil tujuh subjek untuk SPM pun tidak mampu menghadapinya.

Pelajar yang tertekan dengan pembelajaran dan tidak minat dengan subjek yang diambil lebih rela ponteng sekolah.

"Syarat wajib masuk universiti hanya mengambil kira lima subjek, tetapi kita memaksa pelajar mengambil antara 10 dan 12 mata pelajaran.

"Tidak hairan jika ada pelajar yang cemerlang turut gagal dan tersalah pilih kursus, akhirnya masa depan mereka terjejas," katanya.

Mengenai sistem peperiksaan SPM terbuka yang memberi kebebasan pelajar memilih subjek elektif, katanya sistem itu sedikit kelam-kabut pelaksanaannya.

"Saya mendapati pelajar tidak mempunyai arah tuju.

"Jika di tingkatan tiga, pelajar tidak minat belajar, jangan paksa mereka menumpukan kepada akademik sebaliknya beri galakan ke sekolah vokasional atau teknik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata jumlah subjek yang ditetapkan kementerian itu paling wajar dan tidak membebankan pelajar.

Beliau berkata, pelajar boleh mengambil seberapa banyak subjek dalam peperiksaan, namun ia dihadkan kepada 12 subjek bagi melahirkan pelajar berkualiti.

"Sekarang ini, ramai pelajar yang berlumba-lumba untuk mengumpul gred A, tetapi dalam sistem pendidikan apa yang kita mahu adalah kualiti bukannya kuantiti.

"Kita mahu pelajar lebih mendalami dan memahami, bukan belajar untuk gred A atau lulus peperiksaan," katanya.

Selain itu, langkah memaksimumkan 12 subjek itu bertujuan memberi peluang pelajar menikmati waktu muda mereka.

"Jika pada usia remaja, mereka terlalu menumpukan kepada akademik, bila pula pelajar dapat menikmati keseronokan usia muda bersama rakan-rakan.

"Paling penting, keputusan ini untuk meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tambahan," katanya.

Apabila ditanya mengenai kewajaran sistem pembelajaran sekolah menengah dirombak dan dilaksanakan seperti di pusat pengajian tinggi (IPT), katanya langkah itu masih terlalu awal.

"Di IPT, mereka mengamalkan sistem pengkhususan, tetapi kita mahu pelajar di sekolah mengutip sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, bukannya mengkhusus dalam satu bidang.

"Selepas SPM, mereka boleh membuat pengkhususan bidang mana yang sesuai untuk diterokai," katanya.

Katanya, pelajar tidak akan keliru atau tersalah pilih program selepas SPM kerana di di sekolah, mereka dibekalkan dengan pelbagai ilmu. - Oleh Suliati Asri suliati@hmetro.com.my

Monday, December 14, 2009

Mesej Kepada Ibu Bapa

Projek Daftar Sistem Pesanan Ringkas (SMS)
SISTEM Pesanan Ringkas (SMS) bagi menyalurkan maklumat aktiviti sekolah terus ke talifon bimbit ibu bapa/penjaga murid.
Sebelum ini medium asal menghebahkan aktiviti dibuat melalui surat, kertas hebahan selain laman sesawang dan juga emel. Dengan adanya Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ini, yang berkuat-kuasa serta-merta, dapat mempercepat penyampaian maklumat kepada pihak yang menerimanya.
Antara kandungan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ialah pemberitahuan mesyuarat PIBG dan lain-lain mesyuarat, maklumat peperiksaan/ujian bulanan dan penggal, sukan sekolah, hari katin, cuti sekolah/peristiwa dan cuti raya selain meminta ibu bapa mengambil rekod pelajar, aktiviti ko-kurikulum/badan beruniform. Juga turut dikirimkan SMS mengenai Hari anugerah Cemerlang dan lain-lain lagi. Namun kewujudkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah bagi mengatasi masalah seperti
*Surat sekolah yang diedarkan tidak sampai/lambat diterima di tangan ibu bapa/penjaga murid.
*Ibu bapa/penjaga yang bertugas ‘outstation’ tidak mendapat maklumat sekolah
*Anak-anak terlupa memberi kertas makluman sekolah kepada ibu bapa dan lain-lain lagi.
Kejayan projek Sistem Pesanan Ringkas (SMS), akan menjadi realiti apabila ibu bapa/penjaga murid, mendaftar talian talian talifon bimbit anda mulai sekarang.
Diharap dengan adanya Sistem Pesanan Ringkas (SMS), dapat membantu meningkatkan mutu penyampaian maklumat daripada pihak sekolah terus kepada ibu bapa/penjaga murid tanpa masalah.
Apa yang penting ibu bapa/penjaga murid tahu aktiviti anak-anak anda di sekolah selain kos yang sangat murah lebih kurang tiga sen sehari!
Sekiranya tuan/puan bertukar nombor talifon bimbit sila maklumkan dengan segera kepada pengendali perkhidmatan ini, Drift ICT Network dengan menghubungi Mohd Fadzail Baharuddin menerusi 019 3007424 atau SMS.
Bayaran RM5 sekeluarga melalui anak tuan/puan untuk mengaktifkan penghantaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS) selama lima bulan. Sila SMS nama anak, tahun dan sekolah serta nombor telefon bimbit yang baru.
Jika tuan/puan ingin mendaftar dua talian telefon bimbit (suami-isteri), maka caj pendaftaran RM10 sahaja.

Sunday, December 13, 2009

Keratan Berita Sana Sini


Program Ulul Albab ke MRSM Gemencheh

BESUT - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh Negeri Sembilan akan menjadi MRSM kedua yang melaksanakan Program Ulul Albab selepas MRSM Putera Terengganu mulai tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh (gambar kanan).

Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat sini hari ini.

Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.

Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.

'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.

Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.

Mara tidak cadang naik yuran MRSM

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) belum bercadang menaikkan sebarang yuran bagi pelajar yang memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) Mara, Md Rahim Salim, berkata setakat ini, tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh pihak atasan berkaitan perkara itu.

"Justeru, setakat ini, tidak ada perubahan kadar yuran yang akan dikenakan terhadap pelajar MRSM, bermakna mereka masih membayar caruman RM30 sebulan pada tahun depan seperti dulu.

"Selain itu, ada juga sebilangan pelajar miskin yang bukan hanya tidak perlu membayar caruman, malah turut diberi bantuan wang saku. Mara sudah menetapkan garis panduan bagi mengenal pasti pelajar miskin yang tidak perlu membayar caruman bulanan dan mereka yang turut layak memperoleh bantuan wang saku," katanya ketika dihubungi di Langkawi.


Friday, December 11, 2009

Kabar Dari TPM


Muhyiddin: Dasar Baru Sains Dan Matematik Martabatkan BM Perkukuhkan BI

KUALA LUMPUR - Setelah tujuh tahun dilaksanakan dan terus menjadi isu hangat, kerajaan akhirnya mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada 8 Julai lepas. Ia adalah antara keputusan paling penting oleh Muhyiddin hanya tiga bulan selepas dilantik menerajui kementerian itu.

Pelantikan Muhyiddin ke jawatan itu menunjukkan betapa pentadbiran baru kepimpinan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan aspek pendidikan.

PPSMI bakal digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang menurut kerajaan, tidak merugikan manamana pihak sama ada yang menolak mahupun menyokong PPSMI kerana dasar baru itu bertujuan memberikan keseimbangan.

Katanya segala persiapan sudah bermula kerana kerajaan tidak mahu terjerumus lagi dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar diperkenalkan.

Bukan sekadar memansuhkan PPSMI, komitmen dan keikhlasan kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan terus diperlihatkan apabila lebih RM30 bilion diperuntukkan untuk bidang pendidikan menerusi Bajet 2010.

Kementerian itu juga meletakkan empat matlamat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan iaitu memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan guru besar berprestasi cemerlang.

Muhyiddin juga menekankan perbelanjaan sederhana bagi projek infrastruktur pendidikan, kerana baginya, peruntukan yang lebih seharusnya disalurkan untuk meningkatkan kualiti guru kerana guru yang benar-benar berkualiti lebih memberi manfaat berbanding infrastruktur fizikal yang tersergam indah.

Beliau juga mengumumkan pendidikan prasekolah bakal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan BI bermula dari peringkat awal selain untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada 2012.

Guru BI yang sedia berkorban untuk berkhidmat di luar bandar pula diberi insentif tambahan bagi memastikan pelajar di luar bandar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Pengetua dan guru yang berjaya menaikkan mutu pendidikan pelajar juga akan diberi imbuhan berpatutan.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diteruskan oleh kementerian untuk tingkatkan profesionalisme para pendidik di seluruh negara," katanya.

Cadangan sekolah satu aliran yang dikemukakan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menimbulkan perbahasan sehingga di Parlimen.

Ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri yang berpendapat sistem pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila rakyat bersedia dan dikehendaki semua pihak.

Muhyiddin pula menyifatkan sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini sebagai satu "takdir sejarah" yang hanya boleh diubah sekiranya semua kaum bersedia untuk menerima dan mengamalkan sistem aliran lebih bersepadu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyokong padu cadangan itu kerana beranggapan perpaduan yang terbaik hanya akan dapat dibentuk melalui pendidikan.

Meskipun wujud pelbagai isu, sistem pendidikan di Malaysia tetap mendapat pengiktirafan sebagai antara yang paling berjaya dalam menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (Unesco) dalam Laporan Pemantauan Global Pendidikan Untuk Semua 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke45 daripada 129 negara sekaligus menempatkan Malaysia dalam kalangan negara yang berada pada aras tinggi.

Pujian juga harus diberikan kepada seluruh penjawat awam di kementerian itu yang menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi dalam menangani permasalahan, termasuklah langkah bersiap sedia menghadapi wabak influenza A(H1N1) dan bencana banjir di sekolah. BERNAMA