Thursday, December 31, 2009

Isu Yuran Sekolah & Bayaran Tambahan

Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

"Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.

"Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010.

Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

"Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.

Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Yuran sekolah boleh dijelaskan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

Saturday, December 26, 2009

Esei Terbaik Penghujung 2009

Tulisan untuk direnungi dan dijadikan pandangan sisi, sekiranya tidak dapat diterima. Namun ia mempunyai inspirasi yang baik untuk makanan minda…disirkan tulisan mahasiswa yang sudah menjadi manusia…

Melahirkan Generasi Kritis Melalui Subjek Sejarah

Melahirkan generasi yang kritis sangat penting bagi sesebuah negara. Amat malang sekirannya sesebuah negara itu hanya mampu untuk melahirkan generasi kakak tua yang bijak (?) menghafal namun bodoh dalam menganalisis, mengkritik, mempersoal apa yang dihafal. Menghafal perkara yang mudah. Beruk juga boleh menghafal. Tikus apatah lagi. Apakah cukup bagi manusia untuk menjadi seperti beruk atau tikus? Tidak. Itu memang pasti. Jadi yang membezakan manusia dan beruk adalah kemampuan untuk mengkritik, menganalisis, mempersoal segala maklumat yang disumbat ke dalam kepala.

Jelas sekali hari ini sistem pendidikan kita lebih banyak melahirkan beruk dan tikus daripada melahirkan manusia. Kita ramai pelajar yang mendapat “straight A’s” namun gagal memahami sesuatu isu dengan berkesan. Kita kaya dengan kakak tua yang mampu menulis kembali apa yang tercatat dalam buku teks ke atas sekeping kertas. Ini semua hanya lah pencetus kepada kejatuhan Hadharah Malaysia yang dicintai.

Melahirkan generasi yang kritis adalah idaman setiap tamadun. Tanpa generasi yang kritis, mana mungkin penambahbaikan dapat dicapai. Kita tidak perlu kepada tukang ampu, tukang kipas yang mengiyakan segala idea, cadangan, buah fikiran. Tapi yang kita ingin kan adalah mereka yang akan mencari kekurangan kepada buah fikiran, idea, cadangan tersebut dan membantu kita memperbaik lagi idea tersebut.

Melalui tukang kritik lah kita dapat membaiki sesuatu. Kerana sesuatu yang perlu dibaiki adalah sesuatu yang ada kekurangan. Kekurangan hanya dapat dilihat oleh mereka yang kritis, tak mampu golongan pengampu untuk melihat kekurangan orang yang diampu.

Persoalan sekarang, bagaimana melahirkan golongan yang kritis?

Adalah menjadi satu kemestian bagi pelajar di sekolah untuk mengambil mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran sejarah adalah sangat penting dan berguna bagi para pelajar kerana memalui sejarah lah kita mampu untuk belajar dari kesilapan datuk nenek kita dahulu. Namun, adakah cukup sekadar tahu siapa yang menjajah, bila kapitan cina datang, apa yang dijarah oleh Belanda? Segala persoalan siapa, apa, bila adalah perkara yang boleh dihafal. Sesiapa pun boleh menghafal. Yang penting bagi kita adalah untuk mengajar kepada para pelajar, mengapa perkara itu berlaku. Mengapa, bukan siapa. Mengapa, bukan bila. Mengapa, bukan apa.

Melalui persoalan mengapa lah kita dapat mengetahui dengan jelas sesuatu perkara berlaku dan wujud dalam lipatan sejarah. Antara sebab wujudnya sindrom bosan dan benci akan sejarah dalam kalangan para pelajar adalah penekanan yang berlebihan terhadap fakta-fakta yang perlu dihafal. Nama tokoh, tempat kejadian, tahun peristiwa, semua membosankan para pelajar. Justeru, persoalan mengapa tentulah lebih menarik untuk pelajar kerana mereka tidak ditekankan untuk menghafal sebaliknya mereka lebih ditekankan untuk mengetahui kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku.

Memang, penting juga untuk kita mengetahui nama, bila, apa. Namun, usah lah ditekankan sangat. Tak tahu siapa Tok Janggut tidak mengapa asalkan tahu mengapa orang Kelantan menentang British. Tak tahu bila perjanjian Pangkor ditandatangani tidak mengapa asalkan tahu mengapa ia ditandatangani.

Pelajar kita mesti diajar untuk menyelami maksud yang tersirat dalam sejarah kita. Mereka perlu ditekankan untuk mengambil tahu mengapa seseorang tokoh itu membuat sesuatu. Bukan sekadar tahu apa yang tokoh itu buat.

Setelah selesai penguasaan pelajar dalam mengapa sesuatu itu berlaku, kita perlu menekankan pula persoalan apa yang mungkin berlaku jika ianya tidak berlaku sebagaimana sejarah. Apa yang akan berlaku sekiranya British Military Administration tidak datang setelah Jepun menyerah kalah? Apa yang akan berlaku sekiranya Tunku Abdul Rahman membenarkan Parti Komunis Malaya menyertai politik? Persoalan ini dapat melahirkan pemikiran di luar kotak. Kemahiran berfikir untuk jangka masa panjang akan mampu untuk dipupuk.

Ini kerana apabila pelajar sudah benar-benar menguasi kemahiran ini, sudah tentu mereka akan mewujudkan dahulu persoalan mengapa mereka melakukan sesuatu dan apa berlaku jika mereka tidak melakukannya. Kemahiran “plan B” juga akan terbentuk sedikit demi sedikit.

Persoalan sebegini sudah tentulah lebih menarik dan dapat meluaskan lagi fikiran para pelajar. Jika sistem lama yang berteraskan bila, apa, siapa, para pelajar akan ditutup dalam kotak sejarah yang sudah berlaku dan tak mampu untuk diubah lagi. Tapi dengan sistem mengapa, pelajar dapat mebuat andaian dan meluaskan lagi fikiran mereka dengan mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang lain.

Pengaplikasian sejarah dalam kehidupan juga akan lebih bermakna dengan pendekatan persoalan ini. Apa yang kita boleh aplikasikan dengan sekadar mengetahui nama tokoh, bila jambatan dibom dan sebagainya? Mengetahui maksud yang tersirat di sebalik sejarah itu lah yang akan menjadikan sejarah lebih bernilai.

Dengan adanya konsep mengapa ini, pelajar dapat mempersoal, mengkritik tindakan seseorang tokoh. Mereka dapat mengadakan perbincangan, diskusi ilmiah mengenai sesuatu peristiwa. Mereka akan mampu untuk memberikan pendapat mereka mengenai aksi seseorang tokoh. Apa yang berlaku jika tokoh itu buat begini, bukan begitu? Kenapa dia tidak ikut kata penasihat? Jika ikut sudah tentu jadi begini, bukan begitu. Ini lebih baik dan bakal melahirkan generasi yang mampu berfikir di luar kotak sejarah, bukan sekadar kakak tua yang terkurung dalam kotak sejarah.

Dari segi peperiksaan pula, para penggubal soalan perlu menyediakan satu soalan khusus untuk memberi ruang bagi para pelajar menzahirkan idea dan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Soalan sebegini tidak mampu dijawab sekadar dengan membaca buku teks. Sebaliknya kemahiran berfikir sangat penting kerana soalan sebegini memerlukan idea baru, bukan sekadar mengulang kembali cerita lama.

Soalan ini perlu dijadikan soalan wajib dan para pelajar perlu “score” soalan ini bagi membolehkan mereka mendapat A atau lulus dalam mata pelajaran tersebut. Jangan jadikan soalan ini soalan pilihan kerana sudah tentu para pelajar tidak mahu menjawabnya.

Kebebasan intelektual perlu diberikan kepada para pelajar dalam menjawab soalan ini. Biarkan mereka mengkritik, menggodam, menghentam tindakan seseorang tokoh asalkan ianya bersifat membina, bukan kritik, godam, hentam yang membabi buta. Persoalan mengapa yang dibincangkan tadi akan menyediakan para pelajar dalam menjawab soalan ini.

Bersikap kritikal bukan sikap yang buruk. Bahkan ianya sikap yang mulia kerana melalui kritikan lah kita dapat membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru itu penting bagi kita menyediakan masyarakat yang bersikap kritikal dalam membina Hadharah Malaysia yang kita idamkan. – generasi kritis Muhammad fuad syawan ramli (fuadsyadwan@yahoo.com)

Friday, December 25, 2009

Keratan Akhbar Terkini

Jangan kecewa gagal ke asrama penuh

PUTRAJAYA – Ibu bapa tidak harus kecewa dengan kegagalan anak mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) kerana masa depan untuk berjaya dalam akademik masih terbuka luas jika disiplin ketat pembelajaran di rumah dipraktikkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob (gambar) berkata, para pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang gagal mendapat tawaran harus menganggap ia satu hikmah dan cabaran untuk terus bersaing.

Malah, kata beliau, pelajar harus akur bahawa keperluan tempat untuk ke SBP sebenarnya adalah untuk diisi khususnya oleh pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

‘‘Sebenarnya adalah lebih elok pelajar cemerlang itu tinggal bersama keluarga, cuma ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti dengan mereka.

‘‘Realitinya, semua sekolah harian sekarang mempunyai kelengkapan pembelajaran yang sama dengan sekolah berasrama penuh. Sistem pembelajaran terutama disiplin pelajar di asrama penuh ini boleh dipraktikkan di rumah oleh pelajar yang tidak memperoleh tawaran ke situ,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seramai 95,826 murid yang mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR 2009 memohon untuk memasuki SBP seluruh negara.

Bagaimanapun, hanya 6,600 murid yang layak sahaja diluluskan untuk memasuki tingkatan satu ke sekolah-sekolah berkenaan.

Info PMR 2009

Sekolah Harian Terbaik Negeri

SMK Aminuddin Baki, KL.
SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor
SMK Derma, Perlis
SMK Dato' Sheikh Ahmad, Perlis
SMK Sultan Badlishah, Kulim, Kedah
SMK Sultanah Asmah, Alor Setar, Kedah
SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu
SMK Tasik, Perak

Sekolah Berasrama Penuh terbaik

SBP Seri Puteri Cyberjaya,
SBP Tun Fatimah Johor Baharu.
SBP Dato Abdul Razak, Seremban
SBP Integrasi Gopeng, Perak
SM Sains Tengku Abdullah, Raub
SM Sains Tuanku Syed Putra, Perlis
SM Sains Teluk Intan, Perak
SM Sains Tun Azlan Shah, Perak
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak
Kolej Tunku Kurshiah, Seremban

Sekolah Menengah Agama terbaik

SMA Imtiaz, Besut
SMA Imtiaz, Kuala Berang
SMA Bestari Subang Jaya
SMA Persekutuan Kajang
SMA Persekutuan Labu

Sekolah terbaik diluar Kementerian Pelajaran

Kolej Yayasan Saad (KYS) Ayer Keroh, Melaka

Keratan Akhbar Terkini


Kerajaan Sasar 100 Sekolah Prestasi Tinggi Pada 2012

PETALING JAYA - Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah prestasi tinggi menjelang 2012 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan.

Ketua Makmal NKRA untuk Pendidikan, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (gambar) berkata, Kementerian Pelajaran percaya mereka boleh mencapai jumlah yang disasar itu memandangkan kini, terdapat sekolah kluster yang turut menumpukan kepadastandard kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran.

"Kerajaan telah mensasarkan 20 sekolah untuk diiktiraf sebagai sekolah prestasi tinggi tahun depan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Makmal NKRA Pendidikan bertajuk "Pendidikan Berkualiti dan Mampu Dimiliki Oleh Semua Rakyat Malaysia" pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway.

GTP dua hari, yang bermula hari ini, dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Noor Rezan, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran berkata, tumpuan kepada sekolah prestasi tinggi adalah antara empat teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu dimiliki dalam NKRA untuk pendidikan.

Tiga lagi bidang yang diberi tumpuan ialah pra sekolah, kemahiran membaca dan mengira serta imbuhan baru untuk pengetua dan guru besar.

Beliau berkata, kerajaan mahu pra sekolah menjadi aspek penting sistem pendidikan negara memandangkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun cepat mempelajari sesuatu.

"Pada masa ini kemasukan membabitkan pra sekolah hanya pada tahap 67 peratus. Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 87 peratus kemasukan dalam tempoh tiga tahun.

"Oleh itu, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada sektor swasta untuk meningkatkan pendidikan pra sekolah," katanya.

Untuk aspek membaca dan mengira, beliau berkata, setiap kanak-kanak akan dapat menguasai kemahiran membaca dan mengira selepas tiga tahun berada di sekolah rendah arus perdana menjelang akhir 2012.

"Kerajaan mensasarkan 90 peratus dalam membaca dan mengira menjelang tahun depan. Untuk murid yang memerlukan perhatian khas, kurikulum khas membaca dan mengira telah direka," katanya.

Noor Rezan berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan imbuhan baru untuk Guru Besar dan Pengetua sebagai penghargaan kepada sumbangan dan prestasi pengetua dan guru besar bagi memastikan sekolah diurus dan ditadbir secara profesional.

"Kami mensasarkan dua peratus daripada pengetua diberi anugerah tahun depan," katanya. - BERNAMA

Thursday, December 24, 2009

Sedutan Akhbar

PMR: 28,188 Pelajar Peroleh Semua A
Prestasi Bahasa Melayu, Inggeris dan Punjabi Merudum


PUTRAJAYA - Seramai 28,188 pelajar memperolehi A bagi semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding 26,378 bagi tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pencapaian cemerlang itu dengan A bagi setiap mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.41 peratus.

Menurutnya, seramai 281,781 calon PMR pada tahun ini memperolehi sekurang-kurangnya gred D bagi semua mata pelajaran berbanding 278,767 calon pada tahun lalu.

"Seramai 397 calon mendapat E untuk semua mata pelajaran berbanding 440 calon pada tahun lalu. Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2009 dalam 16 mata pelajaran adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Nilai Gred Purata Nasional (GPN) pula meningkat dari 2.83 pada tahun 2008 kepada 2.78 (2009) tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil adalah lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan PMR 2009 di bilik mesyuarat Kementerian Pelajaran, hari ini.

Calon-calon PMR diukur daripada empat indikator iaitu, pencapaian cemerlang (semua A), pencapaian yang baik (minimum D), pencapaian sangat lemah (semua E) dan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional(GPN).

Sementara itu, Alimuddin memberitahu, jurang perbezaan pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pada keseluruhannya semakin rapat.

Jelasnya, nilai GPN calon bandar meningkat dari 2.72 kepada 2.68 manakala calon luar bandar dari 3.02 kepada 2.97.

"Bilangan calon bandar yang mendapat semua A meningkat daripada 7.86 peratus kepada 8.31 peratus manakala calon luar bandar meningkat dari 2.75 peratus kepada 3.09 peratus," ujarnya.

Bagi calon istimewa yang mengalami rabun serta pendengaran pula, Alimuddin berkata, seramai tujuh calon mendapat semua A.

Berhubung dari segi prestasi mata pelajaran, beliau menjelaskan kesemua mata pelajaran menunjukkan sama ada tiada perubahan atau meningkat sedikit kecuali mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi.

"Diukur dari Gred Purata Mata Pelajaran, Bahasa Melayu menurun dari 2.40 kepada 2.42, Bahasa Inggeris turun dari 3.21 kepada 3.25 dan Bahasa Punjabi turun dari 1.70 kepada 2.02," katanya.

Dalam pada itu, Alimuddin memberitahu, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR tahun ini.

Kementerian Pelajaran buat julung kali memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR tahun ini.

Calon yang mengambil mata pelajaran tersebut mulai tingkatan satu pada tahun 2007 belajar di Sekolah Seni Johor Bahru dan Sekolah Seni Kuching.

Empat bidang kesenian yang ditawarkan ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

"Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (tertinggi), diikuti Muzik, Seni Visual dan Tari," katanya.

Sejumlah 475,182 calon yang menduduki PMR tahun ini. Daripada jumlah itu, 442,611 (93.1 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Manakala 4,150 pelajar (0.9 peratus) adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 13,234 (2.8 peratus) calon sekolah swasta, 13,561 calon sekolah agama tadbiran kerajaan negeri (2.9 peratus), 1,288 calon (0.2 peratus) sekolah agama rakyat dan 333 calon (0.1 peratus) persendirian. - Oleh AU YEONG HOW dan NORUTUL ILHAM (mStarOnline.com)

Tuesday, December 22, 2009

Keratan Akhbar


Masalah Kekurangan Guru Akan Diatasi Sebelum Sesi Baru

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan waran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) pada bulan ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru sebelum sesi persekolahan baru bermula Januari tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) berkata, persediaan awal ini bagi mengelakkan ada kelas-kelas tertentu tidak dapat dijalankan ekoran tiada guru yang mencukupi di sekolah yang terlibat.

"Kita minta waran GSTT itu dikeluarkan sebelum bermulanya sesi persekolahan pada 3 atau 4 Jan depan untuk menggaji mereka yang dipilih bagi mengajar serta mengatasi masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Ini adalah langkah persediaan supaya bila pelajar-pelajar masuk ke sekolah nanti, masalah guru akan dapat diatasi dan apa jua temuduga yang perlu dijalankan pada masa ini, kita akan jalankan pada penghujung tahun ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama penolong pengarah Bahasa Cina dari Jabatan Pelajaran Negeri dan penyelia SJKC dari seluruh negara, di bangunan Parlimen.

Mengenai pengambilan guru pelatih untuk memasuki program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah-Kursus Dalam Cuti (KPLI-KDC) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia-Kursus Dalam Cuti (KPDM-KDC), Wee berkata, terdapat kira-kira 300 kekosongan.

Beliau juga berkata, dijangkakan kira-kira 400 orang guru akan bersara wajib pada Julai tahun depan di seluruh negara.

Berhubung isu membenarkan pelajar mengambil tambahan dua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wee menegaskan bahawa soal subjek tertentu dianaktirikan adalah tidak timbul.

Sebaliknya, beliau berkata, syarat-syarat memohon biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), MARA atau mana-mana agensi lain, telah dinyatakan dengan jelas oleh pengeluar biasiswa atau tajaan berkenaan mengikut keperluan masing-masing.

"Misalnya, dalam bidang perubatan, telah dinyatakan subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik Tambahan termasuk mata pelajaran teras Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Islam untuk orang Islam atau Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Islam.

"Telah dinyatakan dengan jelas, tiada kesusasteraan Melayu, Cina dan Tamil dimasukkan. Dan syarat ini telah ditetapkan sejak diperkenalkan dan penerimaan masuk ke universiti berlandaskan mata pelajaran teras," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen (DAP-Bagan) Lim Guan Eng yang meminta kementerian membenarkan pelajar mengambil 12 mata pelajaran dan tambahan dua mata pelajaran diambil kira dalam menentukan gred SPM. - BERNAMA