Tuesday, January 19, 2010
Bergotong royong memasak bubur asyura
GANDINGAN guru, AJK PIBG dan anggota polis dari Balai Polis Taman Melawati bergotong-royong menyediakan bubur asyura, wajar dijadikan teladan yang patut dicontohi semua pihak.
Selain menyediakan masakan bubur asyura dengan resipi istimewa, turut diadakan majlis tahlil dan doa selamat serta solat hajat sebagai memeriahkan lagi sambutan kedatangan bulan Safar 1431 Hijrah.
Menurut Sdr Ramli Abdul, AJK PIBG SMK Lembah Keramat, aktiviti ini sebagai acara tahunan yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara guru, PIBG dan pihak polis.
Turut hadir, Pengetua SMK Lembah Keramat, Puan Pouziah Mahmood dan Yang DiPertua PIBG, Sdr Badaruddin serta pegawai polis dari Balai Polis Taman Melawati. - Foto: MOHD JAFRIR RAMLEE
Sunday, January 17, 2010
3,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tenaga pengajar dalam bahasa tersebut amat diperlukan bagi memastikan pencapaian dalam subjek itu tidak terjejas.
"Kementerian mendapati masalah kekurangan guru bahasa Inggeris begitu kritikal sekali malah hingga menjejaskan prestasi pelajar terutama di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah di Pulau Banggi yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini hari ini.
Katanya, antara punca utama kekurangan itu disebabkan keengganan guru yang mengajar bahasa tersebut untuk bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu katanya, sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut, kementerian merancang mengambil 300 tenaga pengajar dari luar negara untuk melatih guru-guru tempatan mengajar subjek tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak aduan daripada lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum diserapkan sebagai guru oleh Kementerian Pelajaran.
Jelas Mohd. Puad, pihak kementerian memberi jaminan akan menyelesaikan masalah mereka yang berkelulusan sarjana muda pendidikan itu secepat mungkin. - BERNAMA
Sunday, January 10, 2010
e Kasih kenal pasti murid miskin
SAMARAHAN, SARAWAK - Kementerian Pelajaran akan menggunakan senarai e-Kasih bagi mengenal pasti pelajar miskin untuk diberi pelbagai bantuan yang disediakan kementerian itu.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penggunaan senarai e-Kasih akan memastikan hanya mereka yang layak dan berdaftar menerima bantuan kerajaan.
Berikutan itu jelasnya, pelaksanaan Skim Baucer Tuisyen dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disemak semula bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan tersebut.
''Kemungkinan berlaku sedikit kelewatan dalam pemberian bantuan kerajaan seperti pembayaran Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan bantuan-bantuan lain berikutan penggunaan e-Kasih," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.
Puad memberitahu, kerajaan membelanjakan sejumlah RM3.8 bilion setahun bagi menyediakan bantuan kewangan untuk program-program kementerian seperti Skim Baucer Tuisyen, KWAPM, makanan asrama, Biasiswa Kecil Persekutuan dan buku teks.
Oleh itu katanya, peranan ketua kampung adalah penting kerana mereka yang dapat menentukan bantuan kerajaan itu sampai kepada sasarannya.
''Kita tidak mahu berlaku pembaziran kerana pernah berlaku bantuan kerajaan diberikan kepada mereka yang tidak layak," jelas beliau.
Sementara itu, Puad meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersikap adil terhadap masyarakat Penan demi masa depan anak-anak masyarakat itu.
Katanya, tanggapan negatif NGO terhadap masyarakat itu menyebabkan syarikat pembalakan di Long Bedian kini enggan menumpangkan pelajar Penan ke sekolah.
''Ia menimbulkan masalah besar dan boleh mengakibatkan berlaku masalah keciciran membabitkan anak-anak masyarakat itu," katanya.
Friday, January 8, 2010
Wujudkan jawatan pembantu guru
Setiausahanya, Lok Yim Pheng berkata pembantu guru itu akan berperanan melakukan segala kerja pengkeranian seperti mengisi borang dan mengiringi murid ke acara sukan atau ke hospital dan klinik, dan ini akan membebaskan guru daripada beban yang tidak perlu, sekali gus membenarkan mereka menumpukan perhatian kepada tugas mengajar.
“Pada masa sekarang guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka,” katanya di sini, semalam.
Yim Pheng berkata, NUTP, yang mempunyai 160,000 anggota, menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperkenalkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam kurikulum sekolah bagi memenuhi keperluan semasa.
“Inilah yang kita minta bertahun-tahun sebelum ini dan kita berasa gembira kerana kerajaan telah memberi respons yang positif kepada idea itu,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan berhasrat mengubah sistem pendidikan negara bagi menyediakan pendidikan berkualiti.
Katanya, kerajaan juga boleh menimbang untuk menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat sekolah dan menghubungkannya terus kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian.
“Apa yang berlaku sekarang ialah guru-guru diminta menghantar maklumat yang sama kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian secara berasingan,” katanya. - Bernama
Thursday, January 7, 2010
Pewaris negara
Beliau berkata, semua pendidik juga perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk mengemas kini semua fakta dan ilmu hendak disampaikan dalam mata pelajaran dengan memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi maklumat.
yoniza@bharian.com.my
Wednesday, January 6, 2010
Hala tuju selepas PMR
ADA yang menangis gembira, ada yang sedih, meraung atau sekadar berdiam diri di sudut sunyi selepas menerima keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
Mereka yang lulus cemerlang pasti sudah mencongak sekolah asrama penuh atau tingkatan empat aliran sains, sastera dan perdagangan.
Sementara itu, keputusan PMR 2009 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimudin Mohd Dom, meningkat apabila seramai 28,188 pelajar memperoleh A bagi semua mata pelajaran berbanding 26, 378 tahun lalu.
Tuesday, January 5, 2010
Keratan Dua Berita Di Akhbar
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) , berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.
Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).
“Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa.
“Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.
“Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).
Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.
Wujudkan garis panduan bayaran PIBG
SHAH ALAM – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Kementerian Pelajaran menetapkan garis panduan bagi sumbangan ibu bapa pada PIBG bagi mengelak ibu bapa terbeban dengan jumlah kutipan yang tidak seragam oleh pihak sekolah.
Presidennya, Profesor Madya Ali Hassan berkata, PIBGN menyambut baik usaha kementerian menyeragamkan bayaran tambahan bermula sesi persekolahan tahun hadapan namun timbul beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian.
“Ianya perlu ditetapkan oleh kementerian bagi sekolah rendah dan menengah dengan sekurang-kurangnya mempunyai had minimum dan maksimum agar tidak membebankan ibu bapa,” katanya.
Kementerian Pelajaran mengumumkan bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.
Kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.
Kementerian juga memberi persetujuan kepada pihak sekolah serta PIBG menetapkan jumlah sumbangan ibu bapa berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.
Ali berkata, bayaran baru yang ditetapkan perlu dibayar pada awal sesi persekolahan dibuka nanti bertentangan dengan arahan kementerian sebelumnya yang menetapkan bayaran pada bulan Jun.
“Jika tahun lalu bayaran pada bulan Jun, tetapi sekarang perlu dibayar pada Januari. Ini membuatkan ibu bapa keliru dengan dasar yang tidak konsisten,” katanya.
Beliau juga keliru mengenai sama ada kementerian masih meneruskan peruntukan RM8 seorang kepada murid sekolah rendah dan RM10 kepada pelajar sekolah menengah sebagai penambahan kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi aktiviti sekolah.
“Buat masa ini, saya masih tidak pasti sama ada ia masih diteruskan atau tidak. Sekurang-kurangnya, peruntukan itu dapat membantu PIBG mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.
Mengulas keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan kelmarin, Ali mengucapkan tahniah atas kejayaan kementerian, sekolah dan pelajar.
“Namun, kejayaan itu tidak boleh dianggap terlalu selesa. Ia perlu dipertingkatkan lagi untuk keputusan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang masih lagi dianggap lemah tahap penguasaannya dalam kalangan pelajar.
“Kementerian juga perlu menumpukan usaha menyediakan peluang pembelajaran kemahiran kepada golongan pelajar yang lemah dalam akademik.
“Sekolah vokasional dan aliran kemahiran perlu ditambah supaya memberi peluang kepada pelajar lemah akademik membaiki masa depan mereka,” katanya.
Friday, January 1, 2010
Sejahtera Sepanjang Tahun Baru 2010
Salam sejahtera kepada semua guru, penyelia, ibu bapa dan penjaga.
Selamat menyambut Tahun 2010 yang diharap dapat dirai kedatangan Tahun Harimau ini dengan semangat berani, bertanggung jawab serta melindungi masa depan genarasi hari ini dari elemen tidak sihat.
Semoga alaf 21 ini terus ceria dengan kejayaan yang dibimbing petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.