PELAJAR perlu merebut peluang dan memanfaat segala kemudahan di sekolah dalam usaha menyiapkan diri sebagai insan berilmu, beramal serta menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) berkata sebagai generasi pewaris negara, usaha murni menuntut ilmu dan membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti di dalam mahupun luar bilik darjah adalah usaha membentuk personaliti, keterampilan dan jati diri sebagai anak Malaysia.
Katanya, antara lain guru dan murid seharusnya aktif dalam pelbagai bidang sukan dan kokurikulum sejajar saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar program itu diperkasakan bagi membudayakan gaya hidup sihat serta kecemerlangan sukan untuk negara.
“Modal insan cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah usaha berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya.
“Sebagai murid, anda semua seharusnya berusaha menjadi orang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan adalah kenangan paling manis untuk diimbau kelak.
“Bagi murid yang baru memasuki Tahun Satu, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang anda, sudah pasti persekolahan akan menjadi pengalaman menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan baru serta ilmu pengetahuan berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka,” katanya dalam perutusan tahun baru menerusi laman web Kementerian Pelajaran.
Alimuddin turut berpesan kepada guru agar menyambut pelajar dengan minda terbuka serta penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi modal insan cemerlang seperti diharapkan ibu bapa dan negara.
Guru selaku teladan, katanya, perlu mempamerkan kasih sayang kepada anak didik mereka menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid ketika berkomunikasi dua hala supaya ia ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan dan tidak hanya menjadi tulisan atas pasir yang hilang apabila di tiup angin.
Katanya, guru yang menjiwai profesion seharusnya berupaya mengenal pasti dan menggilap bakat serta potensi murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Beliau berkata, semua pendidik juga perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk mengemas kini semua fakta dan ilmu hendak disampaikan dalam mata pelajaran dengan memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi maklumat.
“Dengan menggunakan teknologi terkini, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan guru memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid.
“Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum di pusat kegiatan guru adalah usaha berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah pengetahuan kerana mereka bukan saja berperanan sebagai penyampai ilmu bahkan membentuk kaedah pemikiran positif di kalangan murid,” katanya.
Bagi memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan, Alimuddin berkata, kementerian menjadikan empat perkara sebagai fokus utama bidang keberhasilan utama iaitu peluasan prasekolah, literasi dan numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi serta bai’ah baru bagi pengetua.
Justeru, katanya, semua warga pendidik perlu menyambut perubahan itu dengan tangan terbuka dan minda positif bagi memastikan segala yang dirancang dapat dilaksana dengan lancar serta membuahkan hasil diharapkan.
“Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”, katanya. - Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
No comments:
Post a Comment