Tuesday, January 5, 2010

Keratan Dua Berita Di Akhbar


Kadar bayaran tambahan sesi persekolahan 2010 diseragam

KUALA LUMPUR - Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) , berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).

Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).

“Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa.

“Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

“Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).

Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.


Wujudkan garis panduan bayaran PIBG

SHAH ALAM – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Kementerian Pelajaran menetapkan garis panduan bagi sumbangan ibu bapa pada PIBG bagi mengelak ibu bapa terbeban dengan jumlah kutipan yang tidak seragam oleh pihak sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Ali Hassan berkata, PIBGN menyambut baik usaha kementerian menyeragamkan bayaran tambahan bermula sesi persekolahan tahun hadapan namun timbul beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian.

“Ianya perlu ditetapkan oleh kementerian bagi sekolah rendah dan menengah dengan sekurang-kurangnya mempunyai had minimum dan maksimum agar tidak membebankan ibu bapa,” katanya.

Kementerian Pelajaran mengumumkan bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Kementerian juga memberi persetujuan kepada pihak sekolah serta PIBG menetapkan jumlah sumbangan ibu bapa berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

Ali berkata, bayaran baru yang ditetapkan perlu dibayar pada awal sesi persekolahan dibuka nanti bertentangan dengan arahan kementerian sebelumnya yang menetapkan bayaran pada bulan Jun.

“Jika tahun lalu bayaran pada bulan Jun, tetapi sekarang perlu dibayar pada Januari. Ini membuatkan ibu bapa keliru dengan dasar yang tidak konsisten,” katanya.

Beliau juga keliru mengenai sama ada kementerian masih meneruskan peruntukan RM8 seorang kepada murid sekolah rendah dan RM10 kepada pelajar sekolah menengah sebagai penambahan kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi aktiviti sekolah.

“Buat masa ini, saya masih tidak pasti sama ada ia masih diteruskan atau tidak. Sekurang-kurangnya, peruntukan itu dapat membantu PIBG mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Mengulas keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan kelmarin, Ali mengucapkan tahniah atas kejayaan kementerian, sekolah dan pelajar.

“Namun, kejayaan itu tidak boleh dianggap terlalu selesa. Ia perlu dipertingkatkan lagi untuk keputusan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang masih lagi dianggap lemah tahap penguasaannya dalam kalangan pelajar.

“Kementerian juga perlu menumpukan usaha menyediakan peluang pembelajaran kemahiran kepada golongan pelajar yang lemah dalam akademik.

“Sekolah vokasional dan aliran kemahiran perlu ditambah supaya memberi peluang kepada pelajar lemah akademik membaiki masa depan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment