Monday, December 7, 2009

Berita Sana Sini


TPM Mahu Sukan Jadi Kokurikulum Wajib Di Sekolah
MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.
Berucap pada majlis makan malam bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Muar, di sini semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penekanan terhadap sukan menjadi dasar baru kementeriannya bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. "Kokurikulum ada macam-macam sama, ada sukan dan bukan sukan yang termasuk kelab, persatuan dan badan beruniform. Saya hendak ubah sikit dasar. Yang wajib ialah sukan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika menuntut di sekolah berkenaan di Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas, pada 1965 dan 1966.
Muhyiddin berkata kementerian mahu mengembalikan kegemilangan bidang sukan di setiap sekolah dan ganjaran serta insentif akan diberikan bagi mencapai tujuan berkenaan.
"Kita tidak mahu cemerlang di dalam akademik sahaja, tetapi mesti juga dalam bidang yang lain. Kita mahu bawa balik sukan ke sekolah-sekolah," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang mengibaratkan kepulangannya ke sekolah yang ditubuhkan pada 1902 itu sebagai "sirih pulang ke gagang" berkata sekolah berkenaan banyak melahirkan kenangan manis kepada beliau sehingga berjaya pada hari ini.
Beliau berkata antara kenangan manis itu ialah berpeluang menyertai pementasan teater "Uda dan Dara".
Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam ketika bersekolah, Muhyiddin berkata jasa guru-guru di sekolah berkenaan tidak akan beliau lupakan walaupun beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Muhyiddin turut merasmikan muzium warisan Sekolah Tinggi Muar dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menubuhkan kumpulan pancaragam Sekolah Tinggi Muar. BERNAMA

No comments:

Post a Comment