Friday, December 25, 2009

Keratan Akhbar Terkini

Jangan kecewa gagal ke asrama penuh

PUTRAJAYA – Ibu bapa tidak harus kecewa dengan kegagalan anak mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) kerana masa depan untuk berjaya dalam akademik masih terbuka luas jika disiplin ketat pembelajaran di rumah dipraktikkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob (gambar) berkata, para pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang gagal mendapat tawaran harus menganggap ia satu hikmah dan cabaran untuk terus bersaing.

Malah, kata beliau, pelajar harus akur bahawa keperluan tempat untuk ke SBP sebenarnya adalah untuk diisi khususnya oleh pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

‘‘Sebenarnya adalah lebih elok pelajar cemerlang itu tinggal bersama keluarga, cuma ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti dengan mereka.

‘‘Realitinya, semua sekolah harian sekarang mempunyai kelengkapan pembelajaran yang sama dengan sekolah berasrama penuh. Sistem pembelajaran terutama disiplin pelajar di asrama penuh ini boleh dipraktikkan di rumah oleh pelajar yang tidak memperoleh tawaran ke situ,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seramai 95,826 murid yang mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR 2009 memohon untuk memasuki SBP seluruh negara.

Bagaimanapun, hanya 6,600 murid yang layak sahaja diluluskan untuk memasuki tingkatan satu ke sekolah-sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment