Sunday, December 13, 2009

Keratan Berita Sana Sini


Program Ulul Albab ke MRSM Gemencheh

BESUT - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh Negeri Sembilan akan menjadi MRSM kedua yang melaksanakan Program Ulul Albab selepas MRSM Putera Terengganu mulai tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh (gambar kanan).

Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat sini hari ini.

Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.

Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.

'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.

Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.

Mara tidak cadang naik yuran MRSM

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) belum bercadang menaikkan sebarang yuran bagi pelajar yang memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) Mara, Md Rahim Salim, berkata setakat ini, tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh pihak atasan berkaitan perkara itu.

"Justeru, setakat ini, tidak ada perubahan kadar yuran yang akan dikenakan terhadap pelajar MRSM, bermakna mereka masih membayar caruman RM30 sebulan pada tahun depan seperti dulu.

"Selain itu, ada juga sebilangan pelajar miskin yang bukan hanya tidak perlu membayar caruman, malah turut diberi bantuan wang saku. Mara sudah menetapkan garis panduan bagi mengenal pasti pelajar miskin yang tidak perlu membayar caruman bulanan dan mereka yang turut layak memperoleh bantuan wang saku," katanya ketika dihubungi di Langkawi.


No comments:

Post a Comment