Wednesday, December 9, 2009

Keratan Berita!

Garis Panduan Mata Pelajaran Tambahan SPM

KUALA LUMPUR - Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.

Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.

"Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," kata beliau dalam satu kenyataan.

Alimuddin berkata keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan tersebut akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran.

Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama.

"Dengan formula 10+2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.

"Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas," kata Alimuddin.

Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran.

Alimuddin berkata syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

Kata beliau pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.

Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin. - BERNAMA

KP Pelajaran Sambut Baik Wajibkan Sukan Di Sekolah

PETALING JAYA - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom menyambut baik saranan supaya dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Katanya peranan guru tidak akan bertambah walaupun dasar berkenaan diperkenalkan.

"Peranan guru tidak akan bertambah walaupun aktiviti sukan akan diwajibkan di peringkat sekolah," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu dasar berkenaan diwajibkan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Menurut Alimuddin lagi, proses pembelajaran tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan diwajibkan dalam kokurikulum pelajar.

"Proses pembelajaran pelajar sekolah sama sekali tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan sudah menjadi kewajipan dalam kokurikulum pendidikan negara.

"Untuk melahirkan ahli sukan dan atlit yang bermula di bangku sekolah dan seterusnya bagi meningkatkan kemajuan sukan negara," katanya.

Tambah Alimuddin, pihak guru semestinya bijak mengatur jadual untuk aktiviti sukan di sekolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna.

Katanya, aktiviti sukan yang terdapat dalam silibus pendidikan sedia ada sememangnya berkesan untuk melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas.

No comments:

Post a Comment